Masa yang Lalu

Duduk di halaman belakang rumah sambil menikmati alunan merdu nyanyian burung tekukur memang sangat tenang, ditemani dengan suasana matahari terbit di ufuk timur. Terasa seolah-olah telah berada di rumah Bangi. Namun demikian, pada realitinya jasad ini masih berada di bumi kangaroo menantikan masa untuk pulang ke Malaysia pada akhir bulan Disember.

Gambar hiasan
Teringat pada 3 tahun yang lepas, dalam perjalanan pulang ke kampung. Masa itu kami pulang dengan 2 kenderaan kerana kesemua adik-beradik termasuk mak ayah turut ikut bersama. Jadi terpaksa bawa dua kereta kerana tidak muat. Aku memandu kereta dan abangku menjadi kalendan, sementara mak ayah menyandar sahaja di kerusi belakang. Lagipun kami adik beradik biasanya akan berebut untuk memandu kerana semua sudah ada lesen, masing-masing ingin menunjukkan kehebatan memandu kereta dan siapa sampai dulu di kampung.
Masa itu memang suka bawa kereta laju, biasalah jiwa orang muda. Walaubagaimana pun mak pula jenis orang tidak suka kalau orang memandu laju melainkan ayah sendiri yang bawa kereta sebab sudah yakin dengan kemahiran pemanduan yang abah miliki. Jadi setiap kali dalam lebih kurang 20 minit, mak akan jenguk ke meter kelajuan kereta. Mak mulalah tegur “Haih laju tue Mujahid, slow-slow bawa kereta itu. Pengalaman tidak banyak, lainlah kalau abah kamu yang bawa”. “Owh, ye ke? Ingatkan baru 60 km/sejam je tadi, rupanya sudah 120. Kereta ini tidak rasa sangat kalau bawa laju mak, tue yang tidak perasan tue….hehe” jawabku sambil tersengih. Oleh sebab itu, setiap kali bawa kereta masa mak ada, hati ini selalu meronta “Mak cepatlah tidur, nak bawa laju nie”. Kalau abah pula dia jenis tidak kisah, selagi tidak kena saman. “Kalau kena saman bayar sendiri le, abang kamu dahlah pernah buat land speed record pakai Myvi, 1111 km/sejam mengikut surat saman polis tue”. Dengar macam itu sahaja terus bawa kereta mengikut had laju dibenarkan.
Sampai sahaja di kampung, setelah bersalaman dengan atuk dan opah terus bersiap-siap untuk pergi ke kebun kelapa sawit. Di kebun, mula buat kerja masing-masing. Tebas semak, buang pokok-pokok menjalar naik kelapa sawit untuk mengelakkan persaingan, susun pelepah kelapa yang gugur di bawah pokok kelapa sawit untuk jadi baja semula jadi pada pokok. Sudah siap buat kerja tersebut, barulah mula mengait kelapa sawit untuk dijual kepada peraih. Setelah bekerja dalam 2 jam,kami berhenti sekejap untuk sarapan pagi. Memang sangat best bila sudah penat membanting tulang dapat pula pekena teh tarik dan nasi lemak yang kami beli dalam perjalanan pergi tadi dari rumah atuk. Kalau rehat tengah hari pula dapat pula makan ikan bakar cicah dengan asam, gulai tempoyak dan air sirap. Perghh, mantap. Kebun itu riuh dengan gelak ketawa kami sekeluarga. Aku sangat sukakan kehidupan kampung, bekerja di kebun, walaupun letih bekerja tapi tiada apa-apa tekanan pun, berbeza pula dengan kehidupan di bandar. Kalau atuk pula, selepas bekerja di kebun, duduk di kedai kopi bersembang dengan rakan seusia dengannya. Patutlah orang kampung dapat hidup lebih lama, tekanan boleh dikatakan hampir tiada dan kehidupan memang sangat tenang.
Apabila berfikir semula, terasa seolah masa berlalu sangat pantas. 3 tahun lepas seolah-olah merasakan baru hari semalam. Sama juga ketika duduk di dewan untuk menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM, SACE (South Australian Certificate of Education) dan terbaru adalah peperiksaan university untuk pelajar tahun ketiga di bawah fakulti Chemical Engineering. Tiga minggu yang lepas sangat berbeza dengan hari ini. Minggu di mana bermulanya Swot Vac, semua pelajar yang mengambil subjek yang ada exam mulalah sibuk mengulang kaji, melihat kembali tutorial, nota kuliah, dan rakaman video kuliah. Persaingan ketika ini memang sangat sengit, boleh diumpamakan seperti pokok yang menjalar tadi. Kalau kalah akan mati, jika menang terus tumbuh subur dan bersaing dalam medan lain pula. Melihat dari segi konteks peperiksaan pula, kalau kalah akan gagal. Jika menang dalam persaingan ini, akan hidup dalam medan yang lebih mencabar dalam pekerjaan yang telah berjaya dikuasai.
Sewaktu musim peperiksaan masa sangat berharga bagi kita, 5 minit, setengah jam, 2 jam terasa sangat cepat berlalu. Mulalah rasa nervous, rasa takut sebab tidak habis baca nota kuliah, tidak sempat membuat soalan past years, sedar-sedar esok sudah exam. Ada sesetengah di antara kita menunggu di akhir waktu untuk solat supaya boleh sambung solat dengan waktu selepasnya, ada terlupa giliran untuk memasak, buang sampah, ahli rumah seperti dikatakan orang asing sebab jarang menegur atau meluangkan masa sepenuhnya di university untuk belajar. Namun demikian, ada juga yang berubah menjadi lebih baik, menambah ibadah, membanyakkan bacaan Al-Quran, selalu bangun qiam, banyak luangkan masa di masjid.
Apabila sudah habis exam, ramai yang tidak tahu mahu buat apa semasa cuti. Mulalah ‘membalas dendam’ dengan tekanan sebelum dan semasa exam dengan menonton filem, bermain games di computer, tidur sampai tengah hari, dan lain-lain lagi. Seolah-olah masa sudah tiada nilai untuk dirinya. Bagi yang menambah ibadah semasa musim peperiksaan, ibadahnya menjadi biasa sahaja seperti sebelumnya.
Tidak salah untuk berhibur seperti menonton filem dan membuat perkara sewaktu dengannya semasa cuti, tetapi elakkan melakukannya secara berlebihan. Untuk golongan kedua tadi, memang diakui bahawa ibadah manusia adalah turun naik, mengikut kepada kemampuan dan ujian yang Allah S.W.T. turunkan kepadanya, tetapi ibadah yang lebih baik ialah ibadah yang di dalamnya ada istiqamah, ikhlas bukan kerana exam, tetapi jelas dan tulus kepada Allah S.W.T. Ibadah seperti inilah lebih baik di sisi Allah S.W.T.
Bagi yang pulang ke Malaysia, ambil peluang ini untuk meluangkan masa bersama keluarga. Membantu ibu di dapur, membasuh kereta ayah, mencuci pakaian, dan mengemas rumah, menjaga adik kecil adalah perkara yang sepatutnya dilakukan apabila berada di rumah. Memang kadang-kadang ibu bapa tidak suruh buat atau mereka suruh berehat sahaja di rumah, tetapi sebagai seorang anak ambil peluang ini untuk membantu mereka. Bersembang dengan ibu bapa, tanya khabar saudara mara, telefon atau melawat atuk di kampung untuk mengetahui keadaannya. Kalau ada ibu yang jenis suka bercakap, dengar sahaja dan sesekali senyum. Sesekali buat lawak mengikut kesesuaian masa dan suasana. Pasti ini akan menyukakan hati ibu sebab rindu dengan anak yang duduk jauh dan jarang bercakap secara bersemuka.Kalau ada ayah atau ibu yang sakit di rumah, berebut untuk menjaga mereka. Anggap mereka ini sebagai sumber untuk mendapat pahala, redhanya hati ibu dan ayah pasti akan membantu kehidupan di dunia, malah di akhirat kelak. Perlu kita sebagai pelajar untuk buat perkara seperti ini selagi ada orang tua itu ada, bila sudah ada pekerjaan dan ada anak nanti susah untuk melakukan perkara ini. Mungkin juga kita hanya dapat jumpa ibu bapa sekali sebulan atau mungkin setahun sekali, jadi selagi kita ada masa luangkan sebaik-bainya dengan ibu bapa kita. Jadi apabila tiba masa untuk memulakan tahun baru di universiti, tanggungjawab sebagai seorang anak sudah hampir selesai, seolah-olah tiada apa-apa lagi ‘hutang’ kepada orang tua kita.
Perkara yang paling dekat bagi manusia adalah kematian, walaupun orang itu masih muda, walaupun masih sihat walafiat, walaupun memiliki harta benda yang banyak, kerana mati itu adalah pasti. Jadi dengan masa dan kemampuan yang ada, manfaatkan dengan sebaiknya untuk menjadi hamba yang terbaik di sisi-Nya, supaya bukan sahaja memiliki kebahagiaan dunia, malah di akhirat kelak. Itulah matlamat yang sejati.
Sekian, sampai di sinilah penulisan ini. Akhir kata, selamat bermujahadah.
Maksudnya: Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian,  kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. (Surah Al-Asr, Ayat 1-3)
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s